RedBoy

RedBoy Copyright 2014

Khamis, 1 Disember 2011

Gua kristal gergasi di Mexico

Gua kristal gergasi di Mexico

Pada tahun 2000, sekumpulan pelombong dari Industrias Penoles Company,  terkejut selepas menemui sejumlah ketulan batu dipercayai kristal di Gunung Naica. Kawasan itu berhampiran Gurun Chihuahua, Mexico. Ketika kejadian berlaku, kumpulan pelombong tersebut sedang melakukan kerja-kerja mengepam air.

Terpesona dengan penemuan itu, mereka telah melakukan proses cari gali di kawasan terbabit. Anehnya, selepas menggali kira-kira 300 meter dari permukaan tanah, mereka menjumpai sebuah lubang besar yang dipenuhi lebih banyak ketulan batu kristal gergasi. Dianggarkan, ketulan batu yang paling besar seberat 55 tan.

Ekoran itu, berita penemuan kumpulan pelombong berkenaan tersebar dan mendapat perhatian sekumpulan ahli geologi Mexico. Ekskavasi segera dilakukan dan didapati lubang tersebut menyimpan ketulan kristal yang terbesar pernah dijumpai.

Menurut ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Garcia Ruiz, penemuan tersebut merupakan satu fenomena alam yang menakjubkan. Seumur hidupnya, Ruiz tidak pernah menyaksikan ketulan batu kristal gergasi dalam jumlah yang banyak. Ia merupakan suatu penemuan yang sangat luar biasa dalam penyelidikan geologi. Mengikut kajian geologi, penemuan itu merupakan rekod pertama penemuan batuan kristal gergasi yang tumbuh dalam jumlah yang banyak.

Persoalannya, bagaimanakah batuan kristal gergasi itu wujud? Dan, apakah faktor yang menyebabkan batuan itu mempunyai saiz yang luar biasa?

Jelas Dr. Garcia Ruiz, berdasarkan lapangan kajian yang dijalankan mendapati, batuan kristal gergasi ini terbentuk hasil daripada aktiviti gunung berapi. Mengikut rekod daripada penyelidikan geologi, kawasan pergunungan Naica merupakan kawasan gunung berapi yang aktif kira-kira 26 juta tahun lalu.

Kesan daripada aktiviti gunung berapi yang aktif pada waktu itu telah mengakibatkan terbentuknya batuan jenis ini. Selain pembentukan batu kristal, kawasan ini turut ditemui beberapa jenis logam seperti perak, zink dan plumbum. 

Hasil analisa lanjut yang dilakukan mendapati, saiz batu kristal tersebut turut membentuk pada kadar saiz yang luar biasa. Pembentukan itu didapati berlaku akibat proses tindak balas kimia di dalam tanah. Jelas Ruiz, terdapat dua faktor mengapa saiz batu ini kelihatan gergasi. Pertama, tindak balas kimia antara batu kristal dengan air yang mengandungi mineral di dalam tanah. Kedua, adalah disebabkan faktor suhu yang mencecah 136 darjah Fahrenheit. Pada suhu ini, mineral yang terkandung di dalam air akan terhidrat dan larut dalam gypsum (kalsium sulfat berwarna putih), lalu membentuk kristal.

Menurut Dr. Garcia Ruiz lagi, ketika ekskavasi dijalankan, mereka menemui dua buah lubang besar seakan gua yang mengandungi ketulan kristal gergasi. Bagaimanapun, kedua-dua lubang tersebut mempunyai takat suhu yang berbeza. Berdasarkan ukuran bacaan suhu, kawasan lubang pertama berada pada takat 71 darjah Celsius, manakala ukuran bacaan suhu pada lubang kedua berada pada takat beku.

Selain dua buah lubang yang berjaya dijumpai, kumpulan penyelidik tersebut turut menemui banyak lagi lubang yang lain. Malangnya, lubang-lubang yang ditemui itu menunjukkan paras bacaan suhu yang tinggi serta kandungan oksigen yang tidak mencukupi.

Difahamkan, selepas penyelidikan itu dilakukan kawasan gua yang dipenuhi ketulan kristal gergasi itu telah ditutup dan dikawal rapi oleh pihak berkuasa Mexico. Setakat ini, tiada siapa yang tahu kisah seterusnya mengenai gua tersebut. Ekoran penutupan gua tersebut, ia telah menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. Mungkinkah ada tersembunyi sesuatu misteri yang sepatutnya tidak diketahui umum? Setakat ini, belum ada jawapan munasabah mengenainya.

Manusia kembar dengan binatang

Manusia kembar dengan binatang

Di Pangkalan Balak, Melaka, terdapat satu legenda yang berlegar di kalangan penduduk setempat mengenai seekor buaya putih yang menjadi penunggu di Sungai Linggi. Buaya tersebut dikatakan mempunyai saudara kembar iaitu seorang manusia.

Sama ada kisah ini hanya sekadar suatu mitos atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan kebenarannya. Tetapi cerita mengenai manusia kembar dengan buaya ini telah menjadi buah mulut secara turun temurun di kalangan penduduk kampung sekitar daerah Masjid Tanah dan Linggi.

Menurut Ibrahim Abdul Aziz yang berasal dari Kampung Sungai Kerteh, Pangkalan Balak, suatu ketika dahulu, seorang perempuan dikatakan telah melahirkan anak kembar lelaki di kampung tersebut. Anak pertama yang dilahirkan adalah seekor buaya manakala adiknya adalah seorang manusia. Bayi lelaki itu telah dipelihara seperti orang biasa manakala pasangannya telah dilepaskan ke Sungai Linggi.

 Ibrahim Abdul Aziz
Pada hari-hari tertentu, jika si ibu atau si adik ingin berjumpa dengan buaya tersebut, mereka akan pergi ke beting pasir sambil menyeru nama si abang. Apabila nama diseru, buaya putih tersebut akan muncul di permukaan sungai untuk bersua muka dengan ibu dan adik kembarnya.

Legenda mengenai cerita ini menjadi semakin kuat apabila pada tahun 1990-an, bangkai seekor buaya berwarna putih sepanjang lima meter telah ditemui terdampar di pantai Pangkalan Balak. Berdasarkan kepada kecederaan fizikal yang terdapat di seluruh badan buaya itu, ia dipercayai telah diserang oleh seekor buaya lain. Buaya itu dikatakan cuba mencari kembarnya selepas kawasannya di Sungai Linggi telah diceroboh oleh buaya lain.

Apa yang menghairankan mengenai sang bedal tersebut ialah beberapa anggota badannya dikatakan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan fizikal manusia. Jari-jemari buaya itu tidak bersisik dan panjang serta bentuk kukunya pula bulat seperti kuku manusia biasa. Selain itu, gigi hadapannya berbentuk rata, tidak seperti buaya-buaya lain yang mempunyai gigi tajam keseluruhannya. Disebabkan bentuk fizikal tersebut, penduduk setempat percaya itulah buaya yang dikatakan saudara kembar kepada manusia.

Ada juga pendapat yang mengatakan buaya di Sungai Linggi ada kaitan dengan jin. Namun kesahihan mengenai kaitan haiwan ini dengan alam ghaib tidak dapat dipastikan.

Berdasarkan adat dan kepercayaan masyarakat di kawasan tersebut, seseorang yang ‘dilahirkan’ kembar dengan buaya perlu menjalankan upacara dan ritual-ritual dalam tempoh-tempoh tertentu. Antaranya ialah upacara ‘bebuang’ iaitu menghanyutkan telur ke dalam sungai. Tidak diketahui apa maksud sebenar upacara ini tetapi ia sesuatu yang mesti dilakukan untuk menghindari bala bencana.

Selain buaya, antara haiwan lain yang pernah dikaitkan sebagai kembar manusia juga ialah ular. Cerita mengenai manusia kembar dengan ular ini pernah tersebar di beberapa tempat, termasuklah di Perak.

Dikatakan, pengasas seni silat Gayong, Almarhum Mahaguru Datuk Meor Abd Rahman juga lahir bersama-sama kembarnya iaitu seekor anak ular. Ayahnya, Daeng Uda Mohd Hashim telah mendapat alamat untuk melepaskan ular tersebut ke dalam hutan.

Pada malam berikutnya, Uda Mohd Hashim telah bermimpi ular yang dilepaskan itu telah berubah menjadi seekor naga. Dengan erti kata lain, gambar naga yang terdapat pada logo persatuan Silat Gayong tersebut membawa maksud kembar kepada mahaguru Datuk Meor Abdul Rahman.

Sejauh mana benarnya perkara ini, sukar untuk dipastikan. Namun, inilah antara legenda yang masih berlegar di kalangan masyarakat Melayu, sekalipun kita sudah menjengah era modenisasi.
Persoalannya, secara biologi, bolehkah manusia dilahirkan kembar bersama binatang?

Menurut Pakar Sakit Puan dari Pusat Perubatan dan Bersalin UMRA Shah Alam, Dr. Mohamed Rafi Mohammed Feizal, secara biologinya kembar terjadi apabila berlaku persenyawaan di antara dua ovum dengan satu atau dua sperma. Sekiranya kedua-dua induk adalah sama iaitu manusia, anak yang dilahirkan juga berupa manusia normal.

Disebabkan itu, adalah mustahil untuk manusia melahirkan anak yang berupa haiwan. Ini kerana, sekalipun benih haiwan diambil dan disenyawakan dengan benih manusia, ia hanya akan membentuk satu mutasi yang tidak sempurna sifatnya kerana dipengaruhi oleh gen manusia dan haiwan. Bagaimanapun perkara ini hanya pernah dirancang oleh beberapa saintis, tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana mendapat tentangan daripada pihak yang pro agama.

Jelas Dr. Rafi lagi, sepanjang lebih 20 tahun menjadi doktor sakit puan, beliau tidak pernah menemui kes seumpama ini. Justeru, beliau menganggap cerita-cerita mengenai manusia kembar dengan buaya atau haiwan lain hanyalah suatu dongeng semata-mata. Dr. Rafi percaya, berkemungkinan ia hanya sekadar satu cerita rekaan yang disensasikan oleh sesuatu pihak.

Selain itu, beliau turut menimbulkan persoalan mengapa cerita-cerita sebegini hanya dikaitkan dengan haiwan reptilia sahaja. Mengapa tiada legenda manusia yang kembar dengan haiwan spesies lain seperti lembu, monyet, burung dan sebagainya? Sudah pasti persoalan tersebut sukar dijawab oleh sesiapa sahaja